4 Maut, 2 Kritikal Selepas Hadiri Konsert ‘Pinkfish’ di Bandar Sunway

Konsert Pinkfish. Gambar Google
Kejadian yang berlaku di Bandar Sunway pada malam ambang tahun baru baru-baru ini melibatkan dua lelaki dan dua wanita tempatan yang maut selepas menghadiri konsert ‘Pinkfish‘. Mereka disyaki positif dadah jenis ekstasi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa pihak berkuasa telah membuka empat kertas siasatan untuk mengenal pasti sekiranya terdapat unsur jenayah atau keracunan.
Setakat ini, pihak polis telah merakam keterangan daripada enam saksi dan akan memanggil penganjur konsert serta rakan-rakan si mati untuk membantu siasatan. Siasatan awal menunjukkan bahawa mangsa dipercayai telah mengambil pil ekstasi semasa menghadiri konsert tersebut.
Pihak polis juga sedang menunggu laporan toksikologi untuk mengesahkan punca kematian keempat-empat mangsa yang berusia antara 20 hingga 40 tahun. Dalam kejadian itu, dua mangsa lain masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), manakala seorang lagi sudah dibenarkan keluar dari hospital.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya atau mana-mana balai polis berhampiran.