Dr. Craig Duncan Dilantik Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan FAM

Dr. Craig Duncan. Gambar FAM
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan Dr. Craig Duncan sebagai Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan untuk Pasukan Kebangsaan. Pakar dari Australia ini akan memikul salah satu peranan utama dalam struktur organisasi baharu FAM yang bertujuan merevolusi skuad Harimau Malaya.
Visi Dr. Duncan adalah untuk mewujudkan rangka kerja bertaraf dunia dalam sains sukan dan perubatan sukan, yang akan memberi impak kepada pasukan senior, junior, serta wanita kebangsaan. Dengan pendekatan ini, FAM berharap ia dapat membolehkan pasukan kebangsaan mencapai kejayaan berterusan sambil memupuk budaya prestasi tinggi di semua peringkat bola sepak Malaysia.
Misi utama Dr. Duncan adalah untuk mengintegrasikan amalan sains sukan dan perubatan termaju di seluruh pasukan kebangsaan dan liga bola sepak Malaysia, meningkatkan prestasi pemain, pemulihan, serta daya tahan mereka. Ini termasuk penggunaan protokol piawai, program pendidikan, dan teknologi terkini dalam bidang berkenaan.
Pengalaman Dr. Duncan yang luas, termasuk sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Performance Intelligence Agency selama 15 tahun dan sebagai Ketua Sains Sukan di Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dari 2014 hingga 2018, memberi asas kukuh untuk peranannya di FAM. Beliau turut berpengalaman bekerja dengan Sydney FC, yang memenangi kejuaraan Liga-A, dan Western Sydney Wanderers yang menjadi pasukan Australia pertama menjuarai Liga Juara-Juara Asia pada 2014.
Di FAM, Dr. Duncan akan mengetuai hal-hal berkaitan prestasi tinggi, kecergasan fizikal, pemulihan, sains sukan, pemakanan, psikologi sukan, dan pembangunan kakitangan.
Pengumuman ini juga susulan lantikan Peter Cklamovski sebagai ketua jurulatih kebangsaan dan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan pada 16 Disember lalu, serta Rob Friend sebagai Ketua Pegawai Eksekutif skuad kebangsaan.