Empat Cedera Rempuh Tayar Lori Tercabut Di WCE
Empat individu cedera selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh tayar lori tangki minyak yang tercabut di Kilometer 199, Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) arah selatan, Sitiawan, malam tadi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, insiden yang berlaku pada jam 8.40 malam itu melibatkan tiga kenderaan, iaitu Toyota Yaris, Honda Civic, dan Mercedes.
“Kemalangan ini berlaku apabila tiga kenderaan tersebut merempuh tayar kiri lori tangki minyak yang tercabut di laluan berkenaan,” katanya.
Empat mangsa yang cedera berusia antara tiga hingga 36 tahun menaiki Toyota Yaris, manakala pemandu dan penumpang Honda Civic serta Mercedes tidak mengalami kecederaan.
Beliau berkata, seorang wanita berusia 36 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan Toyota Yaris tersepit di dalam kenderaan dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba menggunakan peralatan khas.
Operasi menyelamat melibatkan 12 anggota dari Balai Bomba Sitiawan dan Seri Manjung, dengan operasi ditamatkan pada jam 10.36 malam.
“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Gambar dan Sumber : HMetro