Jalan Masjid India Dibuka Semula Selepas Pembaikan Siap Awal

Jalan Masjid India.

Jalan Masjid India, yang terlibat dalam insiden lubang benam pada 23 Ogos lalu, kini telah dibuka sepenuhnya kepada orang awam setelah kerja-kerja pemulihan dan pembaikan selesai lebih awal daripada jadual asal yang sepatutnya pada Februari 2025. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan kejayaan ini dengan memaklumkan bahawa pemeriksaan terperinci telah dijalankan, termasuk penyiasatan tanah secara deep boring untuk menentukan profil tanah di sekitar kawasan tersebut.

Sebanyak empat ujian deep boring telah dilakukan dan hasilnya dimasukkan dalam laporan akhir mengenai insiden itu. Selain itu, pelbagai kerja pemulihan telah dilaksanakan, antaranya baik pulih saluran kumbahan rosak oleh Indah Water Konsortium (IWK), pembaikan kemasan siar kaki di kawasan ‘ground zero’, serta pembaikan dan naik taraf saluran longkang di sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India oleh DBKL.

DBKL juga menyatakan bahawa syarikat utiliti, termasuk syarikat telekomunikasi, turut membaik pulih aset mereka di kawasan tersebut. Untuk langkah keselamatan berterusan, DBKL melaksanakan pemantauan visual berkala di sekitar insiden dan akan terus menjalankan pemeriksaan bersama syarikat utiliti, bukan sahaja di Jalan Masjid India tetapi juga di seluruh Kuala Lumpur.

Peruntukan sebanyak RM10 juta dari kerajaan pusat untuk tahun 2025 akan digunakan oleh DBKL untuk melaksanakan kajian geoteknikal dan pengesanan utiliti di kawasan pusat perniagaan bandar bagi mencegah kejadian serupa. DBKL merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemulihan ini dan menghargai kesabaran serta kerjasama orang ramai sepanjang tempoh kerja-kerja pemulihan tersebut.

Gambar dan Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *