Laporan Polis Terhadap Hannah Yeoh Berkaitan Dakwaan Memurtadkan Islam

Buku Hannah Yeoh.
Tujuh laporan polis telah dibuat terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang didakwa berhasrat untuk memurtadkan umat Islam dan menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian. Laporan-laporan ini dibuat oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang meminta Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku Hannah berjudul Becoming Hannah: A Personal Journey, yang dianggap berbahaya dan mengancam keselamatan negara.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman, mengesahkan bahawa polis sedang menyiasat isu tersebut. Dalam pada itu, Hannah Yeoh dilaporkan akan membuat laporan polis terhadap penyebaran mesej dan video yang menuduhnya berniat memurtadkan orang Islam. Tuduhan itu berkait dengan kes saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini menolak saman tersebut, yang mendakwa Musa membuat kenyataan fitnah mengenai Hannah, dan Ahli Parlimen Segambut itu telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sumber : Bharian