Sandwic ‘Ham and Cheese’: Menu Baru Sensitiviti di Kampus?

Gambar Jakim
Kontroversi mengenai penjualan sandwic berlabel “Ham and Cheese” di Universiti Malaya (UM) yang diragui status halalnya telah menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk kerajaan, pihak universiti, dan agensi berkaitan. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menggesa agar isu ini tidak diperbesarkan kerana tindakan proaktif telah diambil oleh pihak terlibat, termasuk penarikan produk oleh rangkaian jualan runcit dan penutupan sementara dua premis di UM bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan telus.
Beliau juga menegaskan bahawa perkara yang menyentuh sensitiviti agama seperti ini harus dielakkan, dan insiden ini diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak. Kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memastikan siasatan dijalankan dan tindakan susulan yang sewajarnya diambil.
Menurut kenyataan JAKIM, produk “Ham and Cheese” tersebut tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), dan syarikat pengeluar produk itu juga bukan pemegang SPHM. Langkah ini diambil bagi memastikan keyakinan pengguna terhadap status halal produk makanan terjamin, khususnya di premis institusi pendidikan.
Kes ini menyerlahkan kepentingan pematuhan kepada standard halal serta pengawasan yang lebih ketat dalam pengurusan dan penjualan makanan di tempat awam.