Skuad Hoki Negara Mara Ke Peringkat Akhir Piala Asia Buat Kali Kedua Berturut-turut
Buat kali kedua berturut-turut, skuad hoki negara berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas membenam cabaran Jepun dengan jaringan 5-0 dalam saingan Hoki Piala Asia yang berlangsung di Indonesia.
Dalam perlawanan pusingan kedua sebelum ini, Malaysia telah mencatatkan dua keputusan seri ketika menentang Korea Selatan (2-2) dan India (3-3) dan misi menang keatas Jepun merupakan suatu misi yang wajib.
Skuad hoki negara akan berdepan Korea Selatan dalam perlawanan penentuan tempat pertama selepas pasukan Korea Selatan berjaya mengenepikan cabaran juara bertahan India yang hanya dibezakan melalui jaringan gol bolos.
Untuk rekod, ini merupakan pentas akhir skuad hoki negara yang kedua selepas berjaya melakukan perkara sama pada edisi 2017 yang lalu di Bangladesh. Ketika itu skuad negara tewas kepada India dengan jaringan 1-2.