Tan Sri Razarudin Saman Papagomo atas Fitnah di Media Sosial

Ketua Polis Negara dan Papagomo. Gambar Kosmo
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, telah memfailkan notis tuntutan saman terhadap blogger kontroversial, Papagomo (nama sebenar Wan Muhammad Azri Wan Deris), kerana memfitnah beliau melalui media sosial. Tuntutan ini berkaitan dengan dakwaan yang menyatakan bahawa Razarudin adalah “pelacur banduan terhormat” dan seorang “penjilat” kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saman tersebut difailkan pada 26 Disember lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui firma guaman Tetuan Kbtan, Kumar & Partners. Peguam Razarudin, Raam Kumar, menjelaskan bahawa plaintif (Razarudin) menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan dan bertulis, termasuk ganti rugi am, teruk atau teladan, serta khas. Selain itu, plaintif turut memohon perintah injunksi bagi menghalang defendan dan mana-mana pihak yang berkaitan daripada mengeluarkan kenyataan atau kata-kata fitnah, atau menerbitkan semula kenyataan fitnah tersebut.
Razarudin juga menuntut agar Papagomo menarik balik kenyataan fitnah tersebut, memadamkan kesemua video dan penerbitan yang berkenaan, dan membuat permohonan maaf melalui semua platform media sosial serta media massa yang sesuai. Permohonan maaf tersebut perlu mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Razarudin.
Papagomo telah diambil keterangan pada 19 Disember 2023 berhubung video yang memfitnah Razarudin dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sumber : Kosmo